Gana dinero online

Tuesday, January 8, 2008

Terbaru dalam kes Altantuya

Ada data tidak diserahkan

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES

SHAH ALAM 8 Jan. - Setelah tujuh hari memberikan keterangan dalam perbicaraan kes bunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, saksi pendakwa ke-61 mengakui sebenarnya terdapat beberapa dokumen lain yang saling berkaitan dengan data yang terkandung dalam log asal (P27), tidak diserahkan kepada pendakwaan dan masih berada dalam simpanan beliau.

Data dalam P27 itu mengandungi transaksi panggilan keluar serta masuk dan khidmat pesanan ringkas (SMS), bagi talian 016- 3636153 yang didaftarkan atas nama kekasih tertuduh pertama, Cif Inspektor Azilah Hadri iaitu Nor Azila Baharudin. Eksekutif bahagian siasatan dan projek khas Celcom, Mohd. Firdous Mohd. Omar yang menyambung keterangannya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, berulang kali menafikan bahawa tindakannya tidak menyerahkan P369 (data daripada Mobile Access Planning yang belum diproses) dan data P370 (raw data daripada Syed Mustaqim Syed Yusof dari jabatan IT dan pembayaran) sebagai suatu taktik untuk menipu ataupun menyembunyikan fakta yang ada.

Sebaliknya Mohd. Firdous menambah, beliau memang benar-benar terlupa untuk menyerahkan dokumen tersebut kepada pendakwaan.

“Ada banyak yang perlu saya fikirkan. Banyak benda (dokumen) yang saya sudah print, saya tidak ingat. Saya tidak dapat berfikir ketika itu,” kata Mohd. Firdous yang tidak dapat menolak kenyataan peguam bahawa dokumen tersebut sememangnya penting.

Mohd. Firdous memberi keterangan pada perbicaraan yang masuk hari ke-74 hari ini.

Menurut saksi itu, beliau telah mengolah semula P369 dan P370 dan menjadikannya P27 (log asal) lalu menyerahkannya kepada pegawai penyiasat, Asisten Suprintendan Tonny anak Lunggan.

Diminta supaya memberikan pengesahan bahawa beliau memang tidak menyerahkan P370 dan P369 kepada Tonny, Mohd. Firdous berkata: “Tidak. Saya hanya serah P27 kepada Tonny.”

Mohd. Firdous, 31, juga menjelaskan bahawa dokumen yang dipersoalkan oleh peguam bukanlah dokumen yang berkaitan dengan P27 sebaliknya ia adalah dokumen yang telah disiapkan mapping dan diterima daripada pegawai bernama Encik Haizal.

Saksi itu memberitahu demikian ketika beliau disoal balas semula oleh peguam J. Kuldeep Kumar yang mewakili Azilah.

Mohd. Firdous yang bertubuh kecil dan rendah turut mengakui, meskipun beliau telah menyemak semua data tersebut namun ternyata masih banyak kesilapan dan perbezaan di dalamnya.

Selepas itu, saksi mengakui bahawa pada prosiding sebelum ini, beliau tidak memberitahu apakah perbezaan yang dimaksudkannya ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin.

Sejurus selepas Mohd. Firdous menyatakan apakah perbezaan tersebut, Kuldeep memohon supaya mahkamah membenarkan saksi untuk membuat pemeriksaan bagi mengenal pasti setiap perbezaan yang dimaksudkannya.

Suasana dalam mahkamah tegang seketika kerana pada pandangan Kuldeep, Mohd. Firdous tidak menjawab soalan yang diajukan oleh beliau.

Ketiga-tiga tertuduh yang duduk dalam kandang, kelihatan tersenyum tersipu-sipu melihatkan gelagat saksi yang seolah-olah tidak senang duduk.

Selain kerap menggeliat sambil mengangkat kedua belah tangannya ke belakang, Mohd. Firdous juga kelihatan meneguk secawan air yang diletak di hadapannya.

Sejak hari pertama memberikan keterangan, Mohd. Firdous yang sentiasa membawa bekalan airnya sendiri, kerap meneguknya di mahkamah terbuka untuk menghilangkan dahaga.

Bagaimanapun Mohd. Firdous, petang ini kelihatan tersentak apabila Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin dengan raut wajah yang serius menegur saksi sambil berkata: “Kamu jangan minum dalam mahkamah ini.”

Dalam kes itu, Azilah, 32, sedang dibicarakan bersama Koperal Sirul Azhar Umar, 36, atas tuduhan membunuh Altantuya.

Azilah dan Sirul didakwa membunuh Altantuya di antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat sini antara pukul 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.

Penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda (tertuduh ketiga) pula didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul untuk membunuh Altantuya.

Dalam soalan lanjutan oleh Noorin, saksi memberitahu bahawa P27 sebenarnya lebih penting jika dibandingkan dengan P370.

Mahkamah turut mendengar keterangan daripada penganalisis teknologi maklumat di Jabatan IT dan bil Celcom, Syed Mustaqim Syed Yusof, 27.

Perbicaraan bersambung esok.

Sumber: utusanmalaysia

Dah makin mengarut dah cerita kes altantuya ni. Hehe

0 comments: